[an error occurred while processing this directive]
[an error occurred while processing this directive]
2010/03/25 Karnival konvokesyen UUM bertukar tragedi
Perasmian Karnival Konvokesyen ke-23 Universiti Utara Malaysia (UUM), di sini, semalam, bertukar tragedi apabila sebuah pesawat jenis Pilatus PC-7 MK II Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) yang membuat persembahan sempena majlis itu, terhempas di kawasan hutan simpan di situ dan mengorbankan juruterbangnya. Dalam kejadian kira-kira jam 10.15 pagi itu, pesawat dipandu Mejar Muhammed Zulrihan Jusof, 39, dikatakan mengalami masalah teknikal ketika membuat persembahan sebelum terjunam ke dalam kawasan hutan simpan berhampiran kolej kediaman pelajar MISC/TM.
Ia menyebabkan suasana di Stadium UUM ketika majlis yang dirasmikan Pengarah Urusan Bank Rakyat, Datuk Kamaruzaman Che Mat dan turut dihadiri Naib Canselor UUM, Tan Sri Nordin Kardi gempar berikutan bunyi letupan kuat diikuti asap hitam keluar dari kawasan hutan tempat pesawat itu terhempas.
Suasana majlis perasmian itu menjadi gamat apabila kira-kira 500 hadirin, terutama pelajar menjerit kerana terkejut dengan kemalangan itu.
Dua jentera dengan 14 anggota Pasukan Bomba dan Penyelamat tiba di tempat kejadian kira-kira 15 minit kemudian dan mengambil masa kira-kira sejam untuk mengesan dan mengeluarkan mangsa yang ditemui beberapa meter dari pesawat. Selain bomba, operasi turut dibantu pihak TUDM dan UUM.
Mangsa dikatakan maut akibat terhempas selepas dipercayai melonjak keluar menggunakan kerusi anjal ketika pesawat menjunam, manakala separuh dari badan pesawat musnah.
Mayat juruterbang dikeluarkan dari tempat kejadian menggunakan sebuah helikopter TUDM sebelum dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar untuk bedah siasat.
Mangsa yang tinggal di Taman Desa Bukit Tinggi Kepala Batas, Alor Setar, berasal dari Kampung Pasir Kasar Sering, Kota Bharu, Kelantan dan sudah berkeluarga.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kedah, Asisten Komisioner Zakaria Ahmad, ketika di temui di sini, semalam. berkata mayat mangsa ditemui kira-kira 15 meter dari pesawat dan dipercayai sempat melonjak keluar menggunakan kerusi anjal ketika pesawat menjunam ke dalam hutan.
Saksi kejadian yang juga seorang pelajar, Norhalida Wafi Ramli, 22, berkata beliau pada mulanya tidak menyangka kejadian itu kerana fikir ia adalah sebahagian daripada gimik persembahan.
"Saya nampak pesawat itu melakukan formasi pusingan sebanyak dua kali sebelum menjunam ke dalam hutan.
"Saya sedar ia adalah kemalangan selepas mendengar bunyi letupan sebanyak dua kali diikuti asap tebal hitam," katanya.
Sementara itu, TUDM akan menubuhkan Lembaga Siasatan Khas bagi mengenal pasti punca kejadian.
Panglima TUDM, Jeneral Datuk Seri Rodzali Daud merakamkan ucapan takziah kepada keluarga mangsa.
(Source: Berita Harian)
Kronologi pesawat Pilatus terhempas
2009/09/11:
Mejar Zulkifli Hassan, 38, dan Mejar Mohd Roszaini Mustafa, 37, terbunuh apabila pesawat terhempas di Langkawi.
2004/12/16:
Nahas pesawat latihan Pilatus PC-7 mengorbankan Leftenan Amnart Summok, 23, dan jurulatihnya, Mejar Alias Bakar, 36, di Kampung Titi Besi, Kepala Batas.
2004/05/27:
Leftenan Mualimin Jasid, 23, terbunuh apabila pesawat Pilatus PC-7 terhempas di Kampung Padang Gelanggang, dekat Jerlun, Kedah.
2003/08/12:
Pelatih penerbangan KTU, Leftenan Mai Elmy Sefrina Jalaluddin, 22, terkorban selepas pesawat Pilatus terhempas di Jalan Bukit Kayu Hitam-Changlun, Kedah.
2001/04/12:
Seorang juruterbang jurulatih TUDM terbunuh apabila Pilatus PC-7 TUDM terhempas di Kampung Kepala Parit Dalam, Tokai, Pendang.
1993/07/12:
Juruterbang pelatih TUDM, Leftenan Muda Mohamad Nazri Amran, 21, terbunuh apabila pesawat terhempas di sawah Kampung Chemumar, Tambun Tualang, Perlis.
1992/01/31:
Pesawat Pilatus PC-7 terhempas dalam Sungai Kemaman, Terengganu menyebabkan juruterbangnya terbunuh.
1990/09/25:
Leftenan Muda Faizal Muhammad terbunuh apabila pesawat merempuh asrama di Universiti Utara Malaysia (UUM), Sintok, Kedah.
1984/09:
Leftenan Muda S Thulasiram terbunuh selepas pesawat TUDM terhempas di Kampung Bukit Rambai, Pendang, Kedah.
[an error occurred while processing this directive]
[an error occurred while processing this directive]